Wednesday, 5 March 2014

Memupuk minat anak-anak

Teks: Noor azma Abu Bakar
Foto: Noor Azma Abu Bakar




Bukan mudah untuk memupuk minat anak-anak dalam apa jua bidang. Semuanya perlu bermula dari awal. Sebagai contoh, membaca. Ibu dan bapa perlu menunjukkan minat dalam membaca terdahulu sebelum menyuruh anaknya berbuat demikian. Ini adalah kerana anak belajar dari apa yang dilihat dan bukan apa yang disuruh. Jika ibu dan bapa suka membaca, adalah tidak mustahil anak mereka juga mempunyai minat yang sama. Ini adalah dari kacamata seorang pendidik dan juga seorang ibu.
Suka kiranya saya dapat berkongsi sedikit pengalaman di sini. Sejak saya mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa, saya dapat meluangkan masa untuk menimba ilmu agama di mana ketika bekerja, saya tidak mempunyai masa untuk mempelajari ilmu agama bersungguh-sungguh. Jadi, saya dan suami telah mengambil peluang untuk mengambil kelas membaca Al-Quran. Walaupun anak saya ketika itu masih berusia 3 tahun, saya telah berbincang dengan tenaga pengajar agar anak saya dapat di masukkan ke kelas yang sama memandangkan pelajar paling muda yang pernah diambil adalah 4 tahun.
Oleh kerana kesungguhan yang ditunjukkan oleh kami, tenaga pengajar di institusi berkenaan setuju untuk mengambil anak kami. Ingin juga saya katakan bahawa, saya juga membawa anak saya yang masih berumur 7 bulan ke kelas. Pada mulanya, saya agak malu memandangkan ustazah yang mengajar masih muda berbanding saya dan tidak ada anak murid mereka yang membawa bayi ke kelas. Tetapi, mereka memahami keadaan saya dan tidak sedikitpun memandang serong kepada saya. Oleh kerana kami juga bermula dari awal, anak kami menunjukkan minat dalam mempelajari Iqra’. Sebagai ibubapa, kita tidak perlu malu dalam mendidik dan memupuk minat anak-anak. Jika perasaan malu menebal, tidak mungkin kami sanggup belajar bersama-sama budak-budak yang masih dibangku sekolah ataupun bersama anak-anak kecil yang masih lagi memakai lampin pakai buang.
Banyak lagi contoh yang boleh saya berikan di sini seperti solat. Jika ibubapa itu sendiri bukanlah seseorang yang mementingkan solat, maka tidak perlulah membuang masa dan tenga memaksa anak untuk menunaikan solat. Semuanya bermula dari ibu dan bapa itu sendiri. Anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat. Ibu dan bapa merupakan model bagi mereka.
Oleh kerana saya menyentuh soal solat, ingin saya kongsikan sedikit petua yang saya pelajari. Selalunya, kita asyik menyuruh anak-anak kita agak berpuasa tetapi bukan untuk bersolat. Ini adalah sesuatu yang salah pada pandangan saya memandangkan dalam agama Islam itu sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa solat adalah tiang agama. Saya tidak ingin menghuraikan ini dengan lebih lanjut memandangkan saya bukan pakar dalam ilmu agama. Kembali kepada soal solat. Jika seseorang itu memelihara solatnya, maka semua amalannya akan terpelihara termasuklah berpuasa. Puasa pula diwajibkan ke atas individu yang telah baligh. Jadi, tidak perlulah kita memaksa anak kita yang masih di tadika atau taska untuk berpuasa. Mereka masih kecil dan mana mungkin mampu untuk berpuasa seperti kita yang dewasa. Sedangkan kita sendiri kepenatan, bayangkan anak kecil ini. Pada pandangan saya, eloklah kita mendidik mereka agar memelihara solat mereka agar puasa mereka juga terpelihara. Jadi, tiadalah isu anak-anak kecil ini mencuri makan di siang hari. Ini hanyalah pendapat saya berdasarkan pemerhatian saya sehari-hari. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi tips-tips lain yang dirasakan berguna di lain hari.

No comments: