Monday 13 October 2014

Surirumah tangga

    Memcari pahala itu sukar. Kerana itulah sebaik-baik pekerjaan adalah menjadi surirumah tangga.

    Kenapa sukar mencari pahala? Kerana menjadi surirumah tangga ini sebenarnya amat memenatkan. Tiada cuti, tidak bergaji, tiada waktu kerja yang tetap kerana kerja ini menggunakan 24 jam yang kita ada setiap hari, kerja yang tidak berkesudahan dan berbagai-bagai lagi bergantung kepada individu.

    Pengalaman saya sendiri setelah tiga tahun menyandang jawatan sebagai surirumah tangga sepenuh masa amat memenatkan berbanding kerja di pejabat. Kerjaya ini menggunalan seluruh kekuatan fizikal dan emosi kita terutama bila mempunyai anak kecil. Masa rehat hanyalah apabila anak tidur tetapi masa itu mungkin diperlukan untuk menyiapkan tugasan lain seperti menggosok pakaian, memasak dan kadang-kadang menyiapkan dokumen yang perlu. Ini kerana ketika anak kecil berjaga, mereka memerlukan perhatian kita. Tetapi jika kita ikhlas melakukan semua ini, betapa banyaknya pahala yang akan kita dapat. Akan tetapi untuk betul-betul ikhlas adalah sukar. Kadang-kadang kita mengeluh terutamanya apabila terlalu penat, atau berleter bila anak-anak tidak mengerti. Jadi, pahala itu memang sukar untuk dikecapi.

    Menguruskan sendiri anak-anak memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada saya. Tiada lagi rasa kebimbangan akan anak ketika pergi bekerja, kita dapat mendidik dan mengasuh sendiri anak-anak, kita dapat menilai dan membentuk perwatakan anak, kita dapat kepuasan apabila anak dan suami sihat serta gembira dan sebagainya. Hanya surirumah yang dapat menikmati semua ini. Dan kerana ini jugalah, keletihan tadi terhapus bila melihat kegembiraan insan tersayang.

Sunday 8 June 2014

Percutian santai bersama keluarga

https://plus.google.com/116329167300165681546/stories/5a628327-95a7-3bc4-bd7f-2dcef3e177081467a5fe41e/1?authkey=COX29eWV6e2TEg

Tuesday 27 May 2014

Tips penjagaan anak demam

Mama demam dah 3 hari skali dengan hidung dan telinga tersumbat. Semalam berjangkit pulak kat si kecik Aisyah. Suhunya sangat panas. Bila dah hampir 4 jam naik balik secara mendadak. Bila pergi klinik mlam ini, doktor sahkan terdapat ulser kt tekak di mana hampir separuh tertutup disebabkan overheat atau terlalu panas. Telinga dua-dua bengkak. Kasihan.si kecik menangis setiap masa. Hanya mahu didukung dan menyusu sambil dipeluk. Doktor kata hari ini sahaja sudah berbelas kes yg sama. Bulan 6 ni pula dijangka akan bertambah teruk kepanasan dan kemarau. Kasihan anak-anak kecil kita. Marilah berdoa semoga musibah musim pnas ni segera reda. Kite pun tak tahan kepanasan ni, apatah lagi anak-anak kecil.

Di sini ingin saya kongsikan tips yang mungkin berguna dalam menjaga dan meredakan demam anak-anak. Ini berdasarkan saranan doktor yg biasa merawat anak saya. Lain doktor mungkin lain saranannya.

1. Mandikan dengan kerap dan bukan rendam dalam air kerana dibimbangi terjadinya hipotermia memandangkan suhu boleh jatuh secara mendadak.
2. Bukak aircond supaya suhu dalam rumah sejuk. Ini bertujuan bagi memudahkan suhu panas dari badan keluar.
3. Spray air kat badan anak supaya lembab dan sejuk.
4. Kerapkan minum air supaya tidak terhidrasi.
5. Basahkan atau jaang kepala anak dan tempat lipatan seperti siku dan belakang lutut.
6. Untuk ubat pula, maksimum boleh diberi kepada anak dalam 4 jam sekali paking maksimum pun 3 hari dan kemudian kurangkan kepada 6 jam dan kemudian 8 jam. Jika suhu sudah berkurang, maka tidak perlulah 4 jam sekali sehingga tiga hari.
7. Jika suhu badan anak terlampau tinggi, bolehlah digunakan ubat panadol yang dimasukkan dari bawah. Akan tetapi, jika tidak terlalu tinggi, eloklah digunakan ubat makan sahaja kerana penggunaan ubat yang dimasukkan dari bawah secara kerap boleh menyebabkan keradangan.
8. Ubat makan dan masuk bawah boleh digunakan secara selang seli bagi kes penggunaan ubat selang 4 jam.

Ini adalah beberapa tips yang diberikan oleh doktor yang dapat saya kongsikan.
Insyaallah nanti saya akan berkongsi tentang khasiat berurut bagi kanak-kanak yang selalu demam urat. Ini boleh dikenalpasti bilamana anak demam petang ke malam dan semakin teruk pada waktu malam tetapi siang tidak.

Tuesday 20 May 2014

Anakku pelat

Teks: Noor Azma Abu Bakar

Anak sulungku pelat. Tapi adakah ia satu kesalahan besar. Bagi aku, ia bukan satu masalah. Tapi bagi sesetengah orang mungkin. 

Inginku kongsikan satu cerita ringkas. Tahun lepas, anakku dihantar ke kelas mengaji al-quran ketika dia masih berumur 3 tahun. Ustaz di situ ingin melihat jika anakku betul-betul ingin belajar, barulah diterima. Atas kesungguhan dan minat yang ditunjukkan, dia diterima. Agak normal bagi budak jika ada masanya dia main-main semasa belajar. Hanya orang yang penyabar boleh mengajar kanak-kanak yang masih pelat untuk mengaji. Alhamdulillah anakku boleh mengaji walaupun sebutannya kadang-kadang kurang kena.

Tahun ini, aku bertukar guru mengaji kerana kekangan masa dan anak kecil. Suamiku juga bertukar guru kerana kami ingin mendalami Al-Quran dengan lebih mendalam. Kami tidak lagi belajar di pusat pengajian yang sama dengan anak kami seperti tahun lepas. Akibat jadual yang berlainan, kami memutuskan untuk mencari guru baru bagi anak kami. Akhirnya kami berjumpa dan dia menerima anak kami kerana anak kami sudah mengenal huruf.

Seminggu yang pertama, aku menemani anakku setiap hari pergi mengaji. Akan tetapi, hatiku terguris setiap kali bila guru baru ini asyik memarahi anakku yang pelat.setiap hari dia kata anakku tak boleh mengaji. Dia bukan seorang yang penyabar. Perkataan yang keluar dari mulutnya bukan yang sepatutnya bagi seorang wanita yang dipenuhi ilmu. Aku masih bersabar dengan kerwnahnya sehinggalah satu hari dia menyuruh anakku agar jangan datang lagi kerana dia tak mahu mengajar anakku lagi. Aku boleh menerima itu semua tetapi apabila dia berkata anakku memang susah diajar dan tak boleh mengaji kerana pelat, ada satu perasaan buruk yang hadir dalam hatiku. Salahkah anakku pelat. Jika dia ingin belajar, perlukah pelat menjadi sebab dia tidak boleh diterima. Salahkah aku sebagai ibunya yang mahu melihat dia berjaya.

Sekarang, aku mengambil ini sebagai satu cabaran. Akan aku buktikan yang aku bisa mengajar anakku sehingga dia bisa menjadi hafiz. Pelat bukan bererti dia perlu mendiamkan diri. Jika Tom Cruise yang dialeksia bisa menjadi jutawan dan terkenal, anakku yang pelat ini bisa menjadi hafiz yang berjaya. Insyaallah

Saturday 12 April 2014

Tips bagi ibu mengandung

Teks: Noor Azma Abu Bakar
Foto: Noor Azma Abu Bakar

Bulan ini, ramai yang saya kenal yang mendapat ahli baru dalam keluarga mereka.apabila saya berkunjung, saya dapati ibu-ibu muda yang baru pertama kali mempunyai anak agak kekurangan informasi. ini tidak menghairankan saya kerana saya pernah mengalami perkara yang serupa dulu. Ingin saya kongsikan tips yang agak umum yang mungkin sudah diketahui atau tidak. tips ini berdasarkan nasihat jururawat serta pembacaan dari sumber yang boleh dipercayai.

1. Ketika mengandung, adalah disarankan agar kita mengurut buah dada sendiri supaya puting terkeluar dan tidak timbul masalah puting tenggelam ketika menyusukan anak buat pertama kali. sikat yang bersih juga boleh digunakan untuk melancarkan aliran darah di sekitar payudara dan melancarkan susu ibu. ini boleh dilakukan seawal kehamilan.

2. Minyak kelapa dara boleh disapukan disekitar vagina bagi menjadikan ia lebih lembut dan mengurangkan koyakan. ini boleh dilakukan lebih awal sekitar trimester kedua dan bukan apabila sudah sakit hendak melahirkan.

3. Banyakkan berjalan bagi memudahkan kelahiran.

4. Banyakkan bacaan tentang pengurusan anak dari sumber-sumber yang boleh dipercayai.

5. Jangan percaya cakap-cakap bahawa kita tidak boleh menyusukan anak jika belum berurut. Ini biasa terjadi kepada ibu yang melahirkan anak sulung.  Berikan susu sejurus anak lahir. Urut dan cuba perahkan susu sedikit bagi membantu bayi baru lahir belajar menyusu. Ini mungkin memakan masa dan tenaga tetapi jangan putus asa. Usahakan juga agar anak dapt menghisap kolostrum dan susu badan sendiri.

Ini adalah serba sedikit perkongsian yang dapat saya coretkan. Insyaallah jika berkesempatan, akan saya kongsikan lagi tips berkenaan mengandung dan kelahiran serta penjagaan bayi.

Tuesday 1 April 2014

Kuasa pelukan

Teks: Noor Azma Abu Bakar

http://creativewithkids.com/hug-it-out-calming-an-angry-child/

Adalah menjadi kebiasaan bagi anak-anak mengamuk. Kadang-kadang hanya kerana perkara kecil atau sekadar keletihan. Saya berminat dengan artikel ini. Cara menenangkan anak. Cuma pelukan. Saya dah lakukan dan ia berkesan. Artikel ini sangat mudah. Sekadar perkongsian dari saya.

Sunday 30 March 2014

Setengah dekad

Teks: Noor Azma Abu Bakar

Wahai suamiku,
Sudah hampir setengah dekad kita bersama,
Mengharungi hidup bersama,
Susah payah kita bersama.

Wahai suamiku,
Kita bermula dari tiada apa-apa,
Sehingga sekarang,
Kita punya dua cahaya mata,
Punya rumah yang selesa,
Punya kelengkapan asas bagi membina keluarga.

Wahai suamiku,
Tetaplah kamu bersamaku,
Dalam suka dan duka,
Dalam susah dan senang,
Tidak perlu kita cemburukan orang lain,
Kerana apa yang kita ada sudah cukup membahagiakan kita.

Wahai suamiku,
Mungkin kita tidak mamandu Phantom mahupun Ferrari,
Mungkin kita tidak menunggang Guzzi mahupun Victory,
Mungkin kita tidak tinggal di istana,
Ketahuilah wahai suamiku,
Aku lebih bahagia begini dengan kamu disisiku sepanjang masa,
Bersama dalam susah dan senang.

Wahai suamiku,
Terima kasih kerana hadir dalam diriku,
Membahagiakan daku,
Membina keluarga bersama-sama,
Mencari rezeki bersama-sama.

Wahai suamiku,
Selamat ulang tahun yang kelima,
Dari isterimu...



Mencari momentum bagi menulis

Teks: Noor Azma Abu Bakar
  
      Bagi seorang surirumah bergelar ibu kepada bayi kecil, memang agak mencabar untuk menulis memandangkan semua kerja rumah perlu disiapkan ketika anak tidur sedangkan saya sendiri masih mencari masa untuk menulis. Kenapa saya berminat menulis? Kerana saya dulunya adalah seorang pendidik dan saya sangat suka bahasa. Mungkin itulah sebab saya mengambil TESL sebagai pilihan.
 
     Sebenarnya sudah beberapa minggu saya ingin mencoretkan idea tapi terlalu sibuk bercuti dan bersama anak-anak. Hari ini, walaupun dengan kain baju yang menggunung, minta dilipat serta ayam dan ikan di dalam sinki mintandi masak, saya gagahkan juga untuk mencari momentum bagi berblogging walaupun pada detik ini, saya sedang menyusukan anak dan dalam proses menidurkan beliau. Dengan hanya berbekalkan ipad, saya menaip walaupun agak kurang selesa. Ini semua bagi memulakan kembali proses menulis dan demi mencapai cita-cita melengkapkan 44 entri.

       Semoga dengan ini, saya dapat membahagikan masa untuk anak-anak, menguruskan rumah serta menulis. Semoga saya mendapat momentum yang diperlukan.

Friday 7 March 2014

Keletah anak-anak, penyeri hidup

Teks: Noor Azma Abu Bakar
Foto: Noor Azma Abu Bakar



Anak-anak merupakan amanah dari Allah. Ia adalah kurniaan paling berharga. Bukan semua orang diberikan kesempatan untuk merasai pengalaman ini. Ada yang sudah bertahun kahwin tapi belum dikurniakan cahaya mata. Hargailah anak-anak walaupun sukar untuk menghadapi kerenah mereka yang pelbagai.

Wednesday 5 March 2014

Memupuk minat anak-anak

Teks: Noor azma Abu Bakar
Foto: Noor Azma Abu Bakar




Bukan mudah untuk memupuk minat anak-anak dalam apa jua bidang. Semuanya perlu bermula dari awal. Sebagai contoh, membaca. Ibu dan bapa perlu menunjukkan minat dalam membaca terdahulu sebelum menyuruh anaknya berbuat demikian. Ini adalah kerana anak belajar dari apa yang dilihat dan bukan apa yang disuruh. Jika ibu dan bapa suka membaca, adalah tidak mustahil anak mereka juga mempunyai minat yang sama. Ini adalah dari kacamata seorang pendidik dan juga seorang ibu.
Suka kiranya saya dapat berkongsi sedikit pengalaman di sini. Sejak saya mengambil keputusan untuk menjadi surirumah sepenuh masa, saya dapat meluangkan masa untuk menimba ilmu agama di mana ketika bekerja, saya tidak mempunyai masa untuk mempelajari ilmu agama bersungguh-sungguh. Jadi, saya dan suami telah mengambil peluang untuk mengambil kelas membaca Al-Quran. Walaupun anak saya ketika itu masih berusia 3 tahun, saya telah berbincang dengan tenaga pengajar agar anak saya dapat di masukkan ke kelas yang sama memandangkan pelajar paling muda yang pernah diambil adalah 4 tahun.
Oleh kerana kesungguhan yang ditunjukkan oleh kami, tenaga pengajar di institusi berkenaan setuju untuk mengambil anak kami. Ingin juga saya katakan bahawa, saya juga membawa anak saya yang masih berumur 7 bulan ke kelas. Pada mulanya, saya agak malu memandangkan ustazah yang mengajar masih muda berbanding saya dan tidak ada anak murid mereka yang membawa bayi ke kelas. Tetapi, mereka memahami keadaan saya dan tidak sedikitpun memandang serong kepada saya. Oleh kerana kami juga bermula dari awal, anak kami menunjukkan minat dalam mempelajari Iqra’. Sebagai ibubapa, kita tidak perlu malu dalam mendidik dan memupuk minat anak-anak. Jika perasaan malu menebal, tidak mungkin kami sanggup belajar bersama-sama budak-budak yang masih dibangku sekolah ataupun bersama anak-anak kecil yang masih lagi memakai lampin pakai buang.
Banyak lagi contoh yang boleh saya berikan di sini seperti solat. Jika ibubapa itu sendiri bukanlah seseorang yang mementingkan solat, maka tidak perlulah membuang masa dan tenga memaksa anak untuk menunaikan solat. Semuanya bermula dari ibu dan bapa itu sendiri. Anak-anak belajar dari apa yang mereka lihat. Ibu dan bapa merupakan model bagi mereka.
Oleh kerana saya menyentuh soal solat, ingin saya kongsikan sedikit petua yang saya pelajari. Selalunya, kita asyik menyuruh anak-anak kita agak berpuasa tetapi bukan untuk bersolat. Ini adalah sesuatu yang salah pada pandangan saya memandangkan dalam agama Islam itu sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa solat adalah tiang agama. Saya tidak ingin menghuraikan ini dengan lebih lanjut memandangkan saya bukan pakar dalam ilmu agama. Kembali kepada soal solat. Jika seseorang itu memelihara solatnya, maka semua amalannya akan terpelihara termasuklah berpuasa. Puasa pula diwajibkan ke atas individu yang telah baligh. Jadi, tidak perlulah kita memaksa anak kita yang masih di tadika atau taska untuk berpuasa. Mereka masih kecil dan mana mungkin mampu untuk berpuasa seperti kita yang dewasa. Sedangkan kita sendiri kepenatan, bayangkan anak kecil ini. Pada pandangan saya, eloklah kita mendidik mereka agar memelihara solat mereka agar puasa mereka juga terpelihara. Jadi, tiadalah isu anak-anak kecil ini mencuri makan di siang hari. Ini hanyalah pendapat saya berdasarkan pemerhatian saya sehari-hari. Insyaallah, saya akan kongsikan lagi tips-tips lain yang dirasakan berguna di lain hari.

Monday 3 March 2014

Penggunaan gadjet


Teks: Noor azma Abu Bakar



Sebagai seorang ibu, tugas mendidik anak bukanlah sesuatu yang mudah. Saya hanya ingin berkongsi pengalaman membesarkan dan mendidik anak.  Pengalaman serta idea yang dihuraikan ini adalah berdasarkan pembacaan dan pengalaman peribadi. Situasi mungkin berbeza bagi sesetengah individu.

Saya pernah berpendapat bahawa pengunaan gadjet seperti Samsung tab dan Ipad berguna dalam meransang kognitif anak-anak. Ia sebenarnya agak benar tetapi hanya dalam peratus yang sangat kecil berbanding mendedahkan anak kepada situasi sebenar ataupun aktiviti berkonsepkan hands-on. Dengan bermain permainan komputer, anak menjadi semakin cekap dalam mengunakan minda terutamanya permainan yang berstrategi dan daya fokus mata juga meningkat.

Walau bagaimanapun, semakin lama pengunaan gadjet, anak menjadi semakin pasif dan kurang berinteraksi dengan ibu serta bapanya. Ipad dibawa kemana sahaja sehinggakan untuk tidur adalah sesuatu yang agak mencabar di mana anak sanggup berjaga untuk bermain. Sampai pada satu tahap, saya menyesal kerana memperkenalkan gadjet kepada anak kerana kurangnya penglibatan dalam dunia realiti.

Saya telah mencuba pelbagai cara untuk menghentikan tabiat anak yang leka bermain permainan video memandangkan banyak keburukan yang diperolehi berbanding kebaikan. Saya beransur-ansur mengalihkan perhatian anak kepada dunia sebenar. Setiap petang, gadjet akan disorokkan dan saya memujuk anak agar bermain di halaman. Pada awalnya, ia agak sukar tapi lama-kelamaam, dengan pujukan dan inisiatif bersama suami isteri, anak penulis beransur-ansur mengurangkan masanya dengan gadjet. Kadang-kadang tanpa disedari anak, penulis menyorokkan gadjet dan memberikan tugasan kepada anak supaya dia lebih yakin. Contohnya, ajak anak membantu di dapur walaupun hanya mengacau tepung di dalam bekas, menyusun gelas plastik, membasuh kereta, mengemaskan mainan dan bermacam lagi.

Alhamdullillah, berkat usaha dan kesungguhan penulis bersama suami, anak tidak terlalu asyik bermain gadjet lagi. Gadjet hanya diberikan apabila anak berjaya menyempurnakan sesuatu tugasan dan terdapat had masa bagi penggunaannya.

Nasihat penulis kepada ibu bapa yang ingin memberikan gadjet untuk anak mereka, tidak perlulah. Dengan memberikan gadjet, kita mungkin lebih mudah di mana tidak perlu melayan kehendak mereka. Akan tetapi, mereka akan terus hanyut di dalam dunia mereka sendiri. Eloklah kita bimbing mereka, ajak mereka melakukan aktiviti bersama walaupun aktiviti yang mudah, berinteraksi dengan mereka, dedahkan mereka dengan dunia luar. Ini akan dapat meransang kelima-lima deria mereka serta meningkatkan keyakinan diri. Keadaan ketika kita kecil dan zaman di mana anak kita kecil sudah jauh berbeza. Dulu, segalanya adalah tentang penglibatan kita, sekarang budak-budak lebih banyak menghabiskan masa dengan tv dan gadjet. Ia bergantung kepada kita sebagai ibu bapa bagi memastikan anak-anak kita merasai pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika waktu kecil mereka. 

Dapat dirumuskan di sini, penggunaan gadjet mengurangkan nilai-nilai yang baik yang perlu ada di dalam sesebuah keluarga. Masa berkualiti yang patut diluangkan akan berkurang dan pelbagai lagi kesan negatif mungkin timbul. Terdapat banyak bahan bacaan di internet terutamanya dari pakar kanak-kanak bagaimana penggunaan gadjet boleh mempengaruhi anak-anak.sebagai ibu bapa, kita patut meluaskan pengetahuan dan cuba menangani kerenah anak-anak tanpa perlu mengambil jalan mudah seperti melambakkan mereka dengan teknologi.

Tuesday 25 February 2014

WAHM


Saya mempunyai seorang anak lelaki berumur 4 tahun dan seorang anak perempuan yang baru menginjak usia 1 tahun. Ketika mendapat anak pertama, hati berbunga riang. Anak yang ditunggu-tunggu bagi setiap wanita yang memasuki alam perkahwinan. Mungkin sudah menjadi rezeki saya, saya mengandung di awal usia perkahwinan saya. Semuanya sangat indah. Saat mengandung, suami menjaga dengan sepenuh perhatian. Biarpun begitu, saya masih cuba untuk berdikari dalam menguruskan semuanya memandangkan saya tidak tinggal bersama dengan suami. Hanya hujung minggu masa yang kami ada untuk bersama.

Setelah melahirkan pun, tidaklah sesenang mana memandangkan saya yang terpaksa menguruskan anak sendiri memandangkan jarak tempat kami bekerja agak jauh. Suami saya juga hanya berada di rumah selasa malam serta hujung minggu. Ketika inilah saya dilanda dugaan yang sangat besar dalam kiraan saya. Anak saya selalu sakit seperti demam, selsema dan selalunya menjadi semakin teruk terutama ketika malam. Suhu 39 dan 40 darjah celcius sudah menjadi mainan bagi saya. Setiap kali itu jugalah saya terpaksa berjaga malam kerana bimbang anak diserang sawan. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, itu tidak pernah terjadi. 

Oleh kerana tugasan saya sangat fleksible, saya dapat menguruskan segala-galanya, tetapi hanya Allah yang tahu betapa terseksanya saya waktu itu. Saya betul-betul perlukan sokongan. Saya hanya tinggal berdua dengan anak di rumah sewa. Sepanjang saya menyewa di situ, sudah beberapa kali rumah saya hampir dimasuki perompak ketika saya hanya berdua dengan anak sulung saya di waktu malam. Dengan keadaan anak yang sentiasa sakit, keadaan rumah yang kurang selamat, itu telah menjadi tekanan besar buat saya. Cuba bayangkan, ibu mana yang sanggup melihat anak sakit 2 kali dalam sebulan, semua klinik sudah saya cuba berubat, secara kampung pun sudah. Tapi, hasilnya masih begitu juga. Ketika menulis entri ini pun saya masih terbayangkan keadaan itu dan masih dapat merasai betapa pilunya hati saya ketika itu. Tapi yang peliknya, apabila suami saya pulang ke rumah, anak saya secara tiba-tiba menjadi sangat aktif, selera makan bertambah, semuanya terjadi secara begitu sahaja. 

Setelah 3 tahun lebih bekerja di universiti itu, ibu saya jatuh sakit di mana dia tidak dapat bergerak langsung dan mengalami pendarahan pada usus. Setiap hari, pada waktu senggang, saya akan ke hospital menjaga ibu saya. Tapi dalam masa yang sama saya masih perlu menyusukan anak saya yang masih kecil memandangkan dia mengalami lactose intolerance di mana dia alah pada laktosa. Susu soya pun dia tidak mahu minum. Dia juga tidak mahu menggunakan botol susu. Jadi, saya akan keluar bila saya ada masa senggang antara kelas supaya dapat menyusukan dia. Saya menjadi sangat tidak terurus ketika itu dan akhirnya saya mengalami kemurungan dan sangat tertekan. Saya tidak dapat menguruskan semuanya dengan baik. Anak saya pula semakin kurus, semakin menjadi-jadi sakit. Mungkin kerana emosi saya ketika itu tidak stabil dan anak saya juga dapat merasainya.
 
Mujurlah saya dikurniakan seorang suami yang sangat prihatin. Setelah berbincang dengan suami, suami saya tidak sanggup melihat saya yang asyik tertekan kerana ia mengganggu emosi dan kesihatan anak saya. Suami saya mencadangkan agar saya berhenti kerja. Pada awalnya, saya teragak-agak memandangkan bagaimana kami nak meneruskan hidup dengan sekadar gaji suami saya yang ketika itu lebih rendah berbanding gaji saya. Hanya satu kata-kata suami saya yang saya masih ingat sampai sekarang. Percayalah pada rezeki. Rezeki ada di mana-mana.

Saya nekad untuk berhenti kerja. Semuanya saya serahkan pada Allah memandangkan saya sendiri belum memohon mana-mana kerja baru. Ketika itu juga, keadaan ibu saya semakin teruk. Mungkin itu sahaja jalan penyelesaian yang ada ketika itu. Saya sudah tidak memikirkan tentang kerja atau wang. Ketika itu, hanya anak, keluarga dan ibu dalam fikiran. Untuk berhenti kerja juga memakan masa memandangkan pihak atasan masih memerlukan saya. Jadi, saya telah merayu kepada pihak atasan dan minta agar saya dapat diberhentikan sejurus selepas habis semester. Saya berjanji untuk menyiapkan segala-galanya asal mereka melepaskan saya.

Selepas 2 bulan lebih surat berhenti dihantar, akhirnya saya dapat meluangkan masa untuk ibu dan anak saya. malangnya, hanya selepas seminggu saya berhenti, ibu saya pulang ke rahmatullah. Walaupun begitu, anak saya semakin sihat dan tidak lagi mengalami sakit seperti dulu lagi. Betul juga kata sesetengah orang, anak bila rindukan seseorang mesti sampai sakit. mungkin emosi anak saya ketika kecil agak terganggu kerana terpaksa berjauhan dari bapanya. Kerana inilah saya membuat keputusan untuk bekerja dari rumah.


Monday 24 February 2014

wadah pengenalan

Assalamualaikum dan salam perkenalan.

Akhirnya lahir jua blog yang telah lama menjadi keinginan saya. Saya tercari-cari medium interaksi di mana saya dapat berkongsi ilmu dan pengalaman saya disamping menambah baik diri dan ilmu yang saya ada.

Sebagai seorang wanita yang sudah menyandang jawatan sebagai surirumah selama dua tahun, akhirnya saya mendapat medium bagi mengumpulkan dan mempertingkatkan ilmu baik sebagai bekas pengajar juga sebagai isteri, ibu, surirumah serta pengusaha.