Tuesday 25 February 2014

WAHM


Saya mempunyai seorang anak lelaki berumur 4 tahun dan seorang anak perempuan yang baru menginjak usia 1 tahun. Ketika mendapat anak pertama, hati berbunga riang. Anak yang ditunggu-tunggu bagi setiap wanita yang memasuki alam perkahwinan. Mungkin sudah menjadi rezeki saya, saya mengandung di awal usia perkahwinan saya. Semuanya sangat indah. Saat mengandung, suami menjaga dengan sepenuh perhatian. Biarpun begitu, saya masih cuba untuk berdikari dalam menguruskan semuanya memandangkan saya tidak tinggal bersama dengan suami. Hanya hujung minggu masa yang kami ada untuk bersama.

Setelah melahirkan pun, tidaklah sesenang mana memandangkan saya yang terpaksa menguruskan anak sendiri memandangkan jarak tempat kami bekerja agak jauh. Suami saya juga hanya berada di rumah selasa malam serta hujung minggu. Ketika inilah saya dilanda dugaan yang sangat besar dalam kiraan saya. Anak saya selalu sakit seperti demam, selsema dan selalunya menjadi semakin teruk terutama ketika malam. Suhu 39 dan 40 darjah celcius sudah menjadi mainan bagi saya. Setiap kali itu jugalah saya terpaksa berjaga malam kerana bimbang anak diserang sawan. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, itu tidak pernah terjadi. 

Oleh kerana tugasan saya sangat fleksible, saya dapat menguruskan segala-galanya, tetapi hanya Allah yang tahu betapa terseksanya saya waktu itu. Saya betul-betul perlukan sokongan. Saya hanya tinggal berdua dengan anak di rumah sewa. Sepanjang saya menyewa di situ, sudah beberapa kali rumah saya hampir dimasuki perompak ketika saya hanya berdua dengan anak sulung saya di waktu malam. Dengan keadaan anak yang sentiasa sakit, keadaan rumah yang kurang selamat, itu telah menjadi tekanan besar buat saya. Cuba bayangkan, ibu mana yang sanggup melihat anak sakit 2 kali dalam sebulan, semua klinik sudah saya cuba berubat, secara kampung pun sudah. Tapi, hasilnya masih begitu juga. Ketika menulis entri ini pun saya masih terbayangkan keadaan itu dan masih dapat merasai betapa pilunya hati saya ketika itu. Tapi yang peliknya, apabila suami saya pulang ke rumah, anak saya secara tiba-tiba menjadi sangat aktif, selera makan bertambah, semuanya terjadi secara begitu sahaja. 

Setelah 3 tahun lebih bekerja di universiti itu, ibu saya jatuh sakit di mana dia tidak dapat bergerak langsung dan mengalami pendarahan pada usus. Setiap hari, pada waktu senggang, saya akan ke hospital menjaga ibu saya. Tapi dalam masa yang sama saya masih perlu menyusukan anak saya yang masih kecil memandangkan dia mengalami lactose intolerance di mana dia alah pada laktosa. Susu soya pun dia tidak mahu minum. Dia juga tidak mahu menggunakan botol susu. Jadi, saya akan keluar bila saya ada masa senggang antara kelas supaya dapat menyusukan dia. Saya menjadi sangat tidak terurus ketika itu dan akhirnya saya mengalami kemurungan dan sangat tertekan. Saya tidak dapat menguruskan semuanya dengan baik. Anak saya pula semakin kurus, semakin menjadi-jadi sakit. Mungkin kerana emosi saya ketika itu tidak stabil dan anak saya juga dapat merasainya.
 
Mujurlah saya dikurniakan seorang suami yang sangat prihatin. Setelah berbincang dengan suami, suami saya tidak sanggup melihat saya yang asyik tertekan kerana ia mengganggu emosi dan kesihatan anak saya. Suami saya mencadangkan agar saya berhenti kerja. Pada awalnya, saya teragak-agak memandangkan bagaimana kami nak meneruskan hidup dengan sekadar gaji suami saya yang ketika itu lebih rendah berbanding gaji saya. Hanya satu kata-kata suami saya yang saya masih ingat sampai sekarang. Percayalah pada rezeki. Rezeki ada di mana-mana.

Saya nekad untuk berhenti kerja. Semuanya saya serahkan pada Allah memandangkan saya sendiri belum memohon mana-mana kerja baru. Ketika itu juga, keadaan ibu saya semakin teruk. Mungkin itu sahaja jalan penyelesaian yang ada ketika itu. Saya sudah tidak memikirkan tentang kerja atau wang. Ketika itu, hanya anak, keluarga dan ibu dalam fikiran. Untuk berhenti kerja juga memakan masa memandangkan pihak atasan masih memerlukan saya. Jadi, saya telah merayu kepada pihak atasan dan minta agar saya dapat diberhentikan sejurus selepas habis semester. Saya berjanji untuk menyiapkan segala-galanya asal mereka melepaskan saya.

Selepas 2 bulan lebih surat berhenti dihantar, akhirnya saya dapat meluangkan masa untuk ibu dan anak saya. malangnya, hanya selepas seminggu saya berhenti, ibu saya pulang ke rahmatullah. Walaupun begitu, anak saya semakin sihat dan tidak lagi mengalami sakit seperti dulu lagi. Betul juga kata sesetengah orang, anak bila rindukan seseorang mesti sampai sakit. mungkin emosi anak saya ketika kecil agak terganggu kerana terpaksa berjauhan dari bapanya. Kerana inilah saya membuat keputusan untuk bekerja dari rumah.


Monday 24 February 2014

wadah pengenalan

Assalamualaikum dan salam perkenalan.

Akhirnya lahir jua blog yang telah lama menjadi keinginan saya. Saya tercari-cari medium interaksi di mana saya dapat berkongsi ilmu dan pengalaman saya disamping menambah baik diri dan ilmu yang saya ada.

Sebagai seorang wanita yang sudah menyandang jawatan sebagai surirumah selama dua tahun, akhirnya saya mendapat medium bagi mengumpulkan dan mempertingkatkan ilmu baik sebagai bekas pengajar juga sebagai isteri, ibu, surirumah serta pengusaha.