Monday 13 October 2014

Surirumah tangga

    Memcari pahala itu sukar. Kerana itulah sebaik-baik pekerjaan adalah menjadi surirumah tangga.

    Kenapa sukar mencari pahala? Kerana menjadi surirumah tangga ini sebenarnya amat memenatkan. Tiada cuti, tidak bergaji, tiada waktu kerja yang tetap kerana kerja ini menggunakan 24 jam yang kita ada setiap hari, kerja yang tidak berkesudahan dan berbagai-bagai lagi bergantung kepada individu.

    Pengalaman saya sendiri setelah tiga tahun menyandang jawatan sebagai surirumah tangga sepenuh masa amat memenatkan berbanding kerja di pejabat. Kerjaya ini menggunalan seluruh kekuatan fizikal dan emosi kita terutama bila mempunyai anak kecil. Masa rehat hanyalah apabila anak tidur tetapi masa itu mungkin diperlukan untuk menyiapkan tugasan lain seperti menggosok pakaian, memasak dan kadang-kadang menyiapkan dokumen yang perlu. Ini kerana ketika anak kecil berjaga, mereka memerlukan perhatian kita. Tetapi jika kita ikhlas melakukan semua ini, betapa banyaknya pahala yang akan kita dapat. Akan tetapi untuk betul-betul ikhlas adalah sukar. Kadang-kadang kita mengeluh terutamanya apabila terlalu penat, atau berleter bila anak-anak tidak mengerti. Jadi, pahala itu memang sukar untuk dikecapi.

    Menguruskan sendiri anak-anak memberi kepuasan yang tidak terhingga kepada saya. Tiada lagi rasa kebimbangan akan anak ketika pergi bekerja, kita dapat mendidik dan mengasuh sendiri anak-anak, kita dapat menilai dan membentuk perwatakan anak, kita dapat kepuasan apabila anak dan suami sihat serta gembira dan sebagainya. Hanya surirumah yang dapat menikmati semua ini. Dan kerana ini jugalah, keletihan tadi terhapus bila melihat kegembiraan insan tersayang.

No comments: