Saya mempunyai seorang
anak lelaki berumur 4 tahun dan seorang anak perempuan yang baru menginjak usia
1 tahun. Ketika mendapat anak
pertama, hati berbunga riang. Anak yang ditunggu-tunggu bagi setiap wanita yang
memasuki alam perkahwinan. Mungkin sudah menjadi rezeki saya, saya mengandung
di awal usia perkahwinan saya. Semuanya sangat indah. Saat mengandung, suami
menjaga dengan sepenuh perhatian. Biarpun begitu, saya masih cuba untuk berdikari
dalam menguruskan semuanya memandangkan saya tidak tinggal bersama dengan suami. Hanya hujung
minggu masa yang kami ada untuk bersama.
Setelah melahirkan pun,
tidaklah sesenang mana memandangkan saya yang terpaksa menguruskan anak sendiri
memandangkan jarak tempat kami bekerja agak jauh. Suami saya juga hanya berada di
rumah selasa malam serta hujung minggu. Ketika inilah saya dilanda dugaan yang
sangat besar dalam kiraan saya. Anak saya selalu sakit seperti
demam, selsema dan selalunya menjadi semakin teruk terutama ketika malam. Suhu 39 dan 40 darjah celcius sudah menjadi mainan bagi saya. Setiap kali itu jugalah saya terpaksa berjaga malam kerana bimbang anak diserang sawan. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah, itu tidak pernah terjadi.
Oleh
kerana tugasan saya sangat fleksible, saya dapat menguruskan segala-galanya,
tetapi hanya Allah yang tahu betapa terseksanya saya waktu itu. Saya
betul-betul perlukan sokongan. Saya hanya tinggal
berdua dengan anak di rumah sewa. Sepanjang saya menyewa di situ, sudah
beberapa kali rumah saya hampir dimasuki perompak ketika saya hanya berdua
dengan anak sulung saya di waktu malam. Dengan keadaan anak yang sentiasa
sakit, keadaan rumah yang kurang selamat, itu telah menjadi tekanan besar buat
saya. Cuba bayangkan, ibu mana yang sanggup melihat anak sakit 2 kali dalam
sebulan, semua klinik sudah saya cuba berubat, secara kampung pun sudah. Tapi,
hasilnya masih begitu juga. Ketika menulis entri ini pun saya masih terbayangkan keadaan itu dan masih dapat merasai betapa pilunya hati saya ketika itu. Tapi yang peliknya, apabila suami saya pulang ke
rumah, anak saya secara tiba-tiba menjadi sangat aktif, selera makan bertambah,
semuanya terjadi secara begitu sahaja.
Setelah 3 tahun lebih bekerja di universiti itu,
ibu saya jatuh sakit di mana dia tidak dapat bergerak langsung dan mengalami
pendarahan pada usus. Setiap hari, pada waktu senggang, saya akan ke hospital
menjaga ibu saya. Tapi dalam masa yang sama saya masih perlu menyusukan anak
saya yang masih kecil memandangkan dia mengalami lactose intolerance di mana
dia alah pada laktosa. Susu soya pun dia tidak mahu minum. Dia juga tidak mahu
menggunakan botol susu. Jadi, saya akan keluar bila saya ada masa senggang
antara kelas supaya dapat menyusukan dia. Saya menjadi sangat tidak terurus ketika itu dan akhirnya saya mengalami kemurungan
dan sangat tertekan. Saya tidak dapat menguruskan semuanya dengan baik. Anak saya
pula semakin kurus, semakin menjadi-jadi sakit. Mungkin kerana emosi saya ketika itu tidak stabil dan anak saya juga dapat merasainya.
Mujurlah saya
dikurniakan seorang suami yang sangat prihatin. Setelah berbincang dengan
suami, suami saya tidak sanggup melihat saya yang asyik tertekan kerana ia
mengganggu emosi dan kesihatan anak saya. Suami saya mencadangkan agar saya berhenti
kerja. Pada awalnya, saya teragak-agak memandangkan bagaimana kami nak
meneruskan hidup dengan sekadar gaji suami saya yang ketika itu lebih rendah
berbanding gaji saya. Hanya satu kata-kata suami saya yang saya masih ingat sampai
sekarang. Percayalah pada rezeki. Rezeki ada di mana-mana.
Saya nekad untuk
berhenti kerja. Semuanya saya serahkan pada Allah memandangkan saya sendiri
belum memohon mana-mana kerja baru. Ketika itu juga, keadaan ibu saya semakin
teruk. Mungkin itu sahaja jalan penyelesaian yang ada ketika itu. Saya sudah
tidak memikirkan tentang kerja atau wang. Ketika itu, hanya anak, keluarga dan
ibu dalam fikiran. Untuk berhenti kerja juga memakan masa memandangkan pihak
atasan masih memerlukan saya. Jadi, saya telah merayu kepada pihak atasan dan
minta agar saya dapat diberhentikan sejurus selepas habis semester.
Saya berjanji untuk menyiapkan segala-galanya asal mereka melepaskan saya.
Selepas 2 bulan lebih
surat berhenti dihantar, akhirnya saya dapat meluangkan masa untuk ibu dan anak
saya. malangnya, hanya selepas seminggu saya berhenti, ibu saya pulang ke
rahmatullah. Walaupun begitu, anak saya semakin sihat dan tidak lagi mengalami sakit seperti dulu lagi. Betul juga kata sesetengah orang, anak bila rindukan seseorang mesti sampai sakit. mungkin emosi anak saya ketika kecil agak terganggu kerana terpaksa berjauhan dari bapanya. Kerana inilah saya membuat keputusan untuk bekerja dari rumah.
No comments:
Post a Comment